Sembahyang dlm maqam tertentu

Kami pemilik blog ini….tidak mengamalkan sembayang dalam maqam ini….karena kami hanya berada pada maqam dasar (Maqam Asbab)…maka kami melaksanakan ibadah sholat hanya semata-mata atas Qudrat dan IradatNya

ASSALAMUALAIKUM Saudara-saudaraku
Bertemu kembali kita di arena muzakarah ilmu hakikat ini yang sekian lama ditinggalkan. Di sini aku mengambil kesempatan untuk menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh saudara Habib berkenaan dengan Usul Ma’rifat 2 yang aku kemukakan tempohari. Di sini aku perjelaskan perihal martabat di dalam sembahyang, dan ianya berlaku pula di dalam dan di luar sembahyang.
Sekiranya apa yang saudara-saudaraku menjumpai ilmu-ilmu yang aku utarakan ini menyamai dengan kitab-kitab hakikat lain, ketahuilah bahawa ilmu hakikat itu tidak jauh bezanya di dalam pendekatan pengabdian diri amalan ke atas-Nya. Kalau dibezakannya pun itu dari segi tafsiran-tafsiran batin yang tujuh puluh (tersurat) itu seperti yang sudah aku nyatakan.
Aku mengucapkan terima kasih kepada saudara Habib kerana bertanyakan aku “bagaimana jalannya”! Inilah jalannya! Namun dari segi kaifiat yang sempurna di dalam solat itu tidak aku zahirkan! Bukan kerana apa, dikhuatiri ia sukar difahami di penulisan email ini.
Perkara-perkara perbuatan dan amalan yang benar-benar ilmiah, aku lebih suka berbicara secara dirrect (face to face). Inilah cara yang terbaik, ibarat dimisalkan kita mengambil atau menerima ilmu dari seorang guru. Ikut cara sunnah Rasulullah SAW. Kita tidak semata-mata berguru melalui buku atau kitab-kitab sahaja, sedangkan tempat untuk dirujuk tidak ada!
Sumbernya tidak sohih daripada mana ilmu itu diperolehi. InsyaAllah, jika kita dipertemukan nanti akan aku perturunkan kifiat sembahyang (hakikat) di dalam perjalanan zikir nafas!
OK…di sini aku persembahkan dan aku ulangi bicara ku yang lepas agar saudara-saudaraku tahkik dengan apa yang aku perkatakan ini.
InsyaAllah…….
HAKIKAT SEMBAHYANG (SOLAT)
IHRAM : Tercengang, ertinya fana’ tiada ingat akan dirinya pada masa itu. Pada masa itu tatkala lazat tiada ia teringat pada yang lain, melainkan Zat Allah.
“La fa’el fi solati ilallah” – Tiadalah aku berbuat sembahyang itu melainkan Zat Allah sematamata.
MUNAJAT : Sudah berjumpa hamba itu dengan Tuhannya. Yakni fana’ ia di dalam Zat Allah. Seperti firman Allah Ta’ala,
“Fa ainama tuwallu fatsamma wajhullah” – Maka barang mana engkau hadapkan muka mu maka di sanalah wujud wajah Tuhan kamu.
Dan sekaliannya itu binasa dan kekal Zat Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan, yakni fana’ wujud dirinya dalam wujud Tuhannya. Ertinya tiada nama aku lagi melainkan nama Zat Allah semata-mata.
TABDIL : Sudah berpindah ma’nikam di dalam kalimah insan rahsia Allah dan ialah yang menghidupkan di dalam sembahyang itu hanya Zat Allah semata-mata.
MI’RAJ : Sudah naik martabat hamba itu kerana ia telah terwakil akan rahsianya itu kepadanya.
“La wujudu fi solati ilallah” – Tiadalah wujudku sembahyang lagi sudah berpindah kepada wujud Zat, yakni wujud Allah tiadalah ada sembah-menyembah dan puji-memuji di dalam sembahyang itu hanya Zat Allah semata.
Demikianlah hakikat kita di dalam sembahyang (solat) ataupun di luar sembahyang. Amalan yang wajib disertakan dengan perbuatan.
Empat maqam di dalam solat ini, mesti dilalui oleh para salik. Tidak boleh tidak, sama ada ia tahu, merasai atau bagaimana sekalipun perbuatan solatnya yang dikatakan hakikat sembahyang yang sebenar-benarnya.
Di dalam Kitab Hakikat Insan (Haji Ahmad Laksamana), ada dibicarakan bab hakikat solat dan cara mengerjakan solat tersebut. Dan aku bersetuju dengan apa yang beliau persembahkan itu. Kalau diperhitungkan dengan apa yang hendak aku sampaikan ini, ianya tidak ada jurang bezanya. Cuma di sini aku tidak memasukkan bagaimana kaedah (kifiat) cara mengerjakan solat tersebut (Hakikat Solat).
Pada mulanya aku hendak menggabungkan isi yang ada di dalam Kitab Hakikat Insan itu dengan gabungan ilmu yang aku perolehi, tapi adalah tidak adil jika aku berbuat demikian kerana mungkin saudaraku berdua sudah memiliki kitab tersebut. Jadi tidak perlulah aku mengulang-ulangi isi kandungan kitab tersebut seperti bab menghilangkan diri, menilik diri, daim dan sebagainya berkenaan hakikat solat.
Jadi di sini aku persembahkan version aku pula, tetapi tidak ada yang membezakan cuma penyampaian maklumat sahaja berlainan.
Tafsiran ahli hakikat, yang mana “Allahu Akbar” itu ialah Sifat, Asma’, Af’al. Bunyinya itu, bunyi Zat, Sifat, Asma’ dan Af’al. Iaitu Hayat, Ilmu, Qudrat, Iradat itulah yang bernama Rahsia Allah kepada batin di dalam diri kita iaitu rahsia itulah yang sebenar-benarnya Allah. Kerana ia memerintah kepada roh dan roh itu memerintah akan hati dan hati memerintah akan tubuh, maka berlakulah kehendak rahsia kepada tubuh.
Tatkala berdiri sembahyang itu, yang ada sendirinya hanya Allah dan adapun yang mengata “Allahu Akbar” itu Rahsia Allah jua, yakni Allah memuji dirinya sendiri. Maka fana’ kita daripada ghairullah, seperti tiada lagi bertubuh zahir dan batin. Tiada lagi rasa hati dan tubuh hanyalah diingatkan Zat Allah hingga hairanlah dan tercenganglah tiada tahu akan dirinya dan tiada tahu akan Tuhannya.
Fahamilah pengertian yang aku khabarkan ini dengan sebaik-baiknya.
Wujud zahir wujud batin di dalam “Laut Hu” habis karam !
Asas sembahyang yang lima waktu itu daripada perkataan “ALHAMDU” – Alif, Lam, Ha’, Mim, Dhal.
Alif – itu menta’yinkan tajalli Allah Ta’ala itu dengan dua perkara. Pertama, tajalli Zat. Kedua, tajalli Sifat. Sebab itulah Subuh itu dua rakaat. Kenyataannya pada kita jasad dan roh.
Lam – isyarat pada wujud, ilmu, nur, syuhud. Iaitu asal lembaga Muhammad. Sebab itulah Dzohor itu empat rakaat. Kenyataannya pada kita dua kaki dan dua tangan.
Ha’ – isyarat kepada asal nyawa Muhammad itu empat. Wadi, madi, mani, ma’nikam. Sebab itulah Asar itu empat rakaat. Kenyataannya kepada kita dua susu dan dua bahu.
Mim – isyarat kepada Allah, Muhammad, Adam, yakni Zat, Sifat, Af’al. Sebab itulah Maghrib itu tiga rakaat, kenyataannya dua lubang hidung, satu mulut.
Dhal – isyarat asal lembaga Adam itu empat anasir, air, api, angin, tanah. Sebab itulah Isya’ itu empat rakaat, kenyataannya kepada kita iaitu dua mata dan dua telinga.
Syariat Tujuh – fardhu, sunat, haram, makruh, mubah, sah dan batal. Sifat Tubuh – hayat, ilmu, qudrat, iradat, sama’, basar, kalam.
Adapun Sifat Ma’ani yang tujuh itu namanya DANBAH, ertinya pekerjaan Zat. Iaitu Hakikat Muhammad.
“Syuhud al-katsrat fil wahdat” Maksudnya : Pandang yang banyak di dalam yang satu.
“Nahnu anta nihi, wa’anta wahuwa” Maksudnya : Kami itu engkau padanya dan engkau itu Ia jua.
“Walikulli fi huwa” Maksudnya : Dan sekalian pada-Nya itu Ia jua ain’nya.
Firman Allah Ta’ala, bermaksud :
“Hai segala manusia, sa-nya telah datang akan kamu hak daripada Tuhan kamu, Nabi Muhammad SAW.”
Adapun wujud yang lain daripada Allah itu sekaliannya fana’ di bawah wujud Allah Ta’ala. Maka tiadalah yang maujud hanya Allah Ta’ala jua. Tetapi wujud ilmu ini semata-mata menzahirkan wujud Allah Ta’ala jua.
– SEMBAHYANG LIMA WAKTU ITU ASAL KITA –
1. Waktu Subuh dua rakaat –
Zat dan Sifat kita berada di dalam mumkin Allah. Namanya “Subuh Awal”. Apabila telah keluar daripada “Alam Rahim” Mim akhirnya.
2. Waktu Dzohor empat rakaat –
Wujud, ilmu, nur, syuhud. Kita berada di dalam kandungan “Dahi Bapa” bernama “Dzho”.
3. Waktu Asar empat rakaat –
Hendak jatuh kepada ibu kita bernama “Asar”.
4. Waktu Maghrib tiga rakaat –
Tatkala jatuh kepada “Rahim Ibu” kita bernama “Maghrib”.
5. Waktu Isya’ empat rakaat –
Sudah dikandung ibu “sembilan bulan” bernama “Isya'”.
6. Waktu Subuh – keluar dari “Alam Rahim”, Adam namanya.
Sebab itulah Maghrib, Isya’, Subuh boleh dijaharkan (nyaringkan) bacaannya kerana sudah tentu zahir kita. Dan waktu Zohor, Asar, itu tiada boleh dijaharkan(nyaringkan).
Hikmah Di Dalam “ALHAMDU”, Di Dalam Sembahyang(Solat) –
1. Takbiratul ihram – “Allahu Akbar”, maknanya menyerah diri kepada Allah, yakni fana’ (hilang) dunia.
2. Berdiri – maknanya membesarkan Allah yakni Sifat Baqa’.
3. Membaca Fatihah – maknanya munajat kepada Allah yakni sa- Zat Allah.
4. Ruku’ – menghinakan diri kepada Allah yakni sa-Sifat Allah. Esa Asma’ Allah.
5. Mendampingkan diri kepada Allah – yakni memandang Sirr Allah, muraqabah ma’iyah (taqarrub).
Menjadi lima waktu sembahyang sehari semalam, iaitu lima perhentian Nabi Muhammad SAW Mi’raj untuk mengadap Allah Ta’ala :
1. Dari Makkah – Baitul Maqdis
2. Dari Baitul Maqdis – ke langit dunia
3. Dari ke langit ke dunia – ke langit yang tujuh
4. Dari langit yang tujuh – Sidratul Muntaha
5. Dari Sidratul Muntaha – kepada Qabbul Kausain Inilah lima tempat perhentian seperti tersebut dalam “KAF, HA’, YA, AIN, SHAD”. Di sanalah hakikat lima waktu.
MIM – Duduk Sembahyang – Ma’rifat HA’ – Sujud Sembahyang – Hakikat MIM – Ruku’ Sembahyang – Tariqat DHAL – Berdiri Sembahyang – Syariat
• Bermula tatkala kita membaca Fatihah itu ialah berkata-kata dengan Allah dan
• ruku’ itu ialahmusyahadah dengan Allah.
• Sujud dan duduk itu ialah TAWAJJUH (Berhadapan/berhadap) dengan Allah.
• Memberi salam itu ialah tempat sampai kepada Allah dan membacadoa itu ialah mengembalikan pada Allah.
Adapun jasad yang dibangsakan kepada sembahyang itu tujuh :
1. Rahsianya –
Niat, iaitu bukanlah niat “Usalli”. Tetapi ialah dibangsakan niat Zat Allah sudah nyata kepada “Roh Idhofi”.
2. Nyawanya –
Takbiratul Ihram, iaitu bukanlah takbir “Allahu Akbar”, tetapi bangsa takbiratul ihram kebesaran Zat Allah sudah nyata kepada “Roh Idhofi”.
3. Kepalanya –
Fatihah, iaitu bukanlah “Alhamdulillah” itu, tetapi bangsa “Fatihah Rahman” Zat Allah sudah nyata kepada “Roh Idhofi”.
4. Tulangnya –
Ruku’, iaitu bukanlah ruku’ itu, tetapi bangsa ruku’ bercermin nampak Zat Allah sudah nyata kepada “Roh Idhofi”.
5. Jasadnya –
Duduk, iaitu bukanlah duduk tahiyat itu, tetapi ialah duduk bangsa duduk “Sami’ Allah” yakni pemurah Zat Allah kepada “Roh Idhofi”.
6. Kakinya –
Sujud, iaitu bukanlah sujud biasa itu tetapi ialah bangsa sujud keelokkan Zat Allah kepada “Roh Idhofi”.
7. Tangannya –
Salam, iaitu bukanlah mengucap “Assalamualaikum” itu, tetapi ialah bangsa “salam sejahtera” Zat Allah sudah nyata kepada “Roh Idhofi”
“Al-Qur’an itu AKU! Ayat Al-Aziim yang di dalam al-Qur’an itu engkau!” Terdahulu Niat Dari Perbuatan
Adapun kifiat hendak “Takbiratul ihram” iaitu tatkala kita qamat hendaklah kita taslimkan kepadanya sekalian pancaindera kita. Jasad dan roh kita itu ingat bahawasanya tiada pendengaranku, tiada penglihatanku, tiada penciumanku hanya Ia. Tiada gerakku dan tiada diamku hanya Ia. Tiada gerakku dan tiada diamku hanya Ia. Tiada huruf dan tiada suaraku hanya Ia. Tiada di hadapan dan tiada dibelakang hanya Ia. Tiada di kanan dan tiada di kiri hanya Ia. Tiada diluar dan tiada di dalam hanya Ia. Tiada jauh dan tiada hampir hanya Ia. Tiada hamba dan tiada Tuhan hanya Ia.
Adapun erti “Ia” itu iaitu wujud kita yang batin. Demikianlah kekal musyahadah kita kepada Allah Ta’ala. Maka baharulah kita kata “Usalli fardhu Dzohri” umpamanya maksud dengan takbiratul ihram itu bahawa hendaklah di dalam pengertian “Baiyadilul ajsamu binuri rabbiha”, ertinya “tukarkan cahaya dirimu itu dengan cahaya Tuhannya”.
Jangan sekali-kali tempatkan wujud engkau hanya Ia jua, kerana tiada dinamakan Tauhid itu melainkan “Hurujuka anka”, ertinya “keluarkan engkau daripada wujud engkau”. Inilah yang dikatakan pada ta’rif fana’ dan fana’ ul-fana’. Maka apabila hasil yang demikian itu dinamakan niat, baharulah hasil makna niat (Laharfin wala sautin) ertinya, “tiada huruf dan tiada suara”.
Hakikat Pengertian Qasad, Ta’rad, Ta’yin.
Qasad – “Qasdu syai’in mu’taranan bifi’li”
Ertinya, “Disahaja sesuatu itu hal keadaannya”. Dipesertakan dengan perbuatannya iaitu pada mengata Allah itu. Maka naiklah Rabbani yang tiada berkeputusan itu. Hingga tujuh petala langit menyembah Tuhannya. Maka baharulah dapat nafi. Dan tatkala mengata “Hu” itu turun ia hingga sampai kepada tujuh petala bumi, iaitu ia sudah dapat isbat. Dan tatkala mengata “Akbar” itu Allah Ta’ala sudah meliputi sekalian alam. Adalah perbuatannya itu dengan i’tibar “dzauk” semata-mata.
Adapun Qasad itu menyatakan niat dan sebenar-benar niat itu tiada berhuruf dan tiada bersuara. Inilah yang dikatakan Zat Allah, iaitu rahsia kepada kita dan itulah asal niat dan tempat berniat itu sebenarnya “Tuhan Mutlaq” yang wajibal wujud lagi bersifat Kamalat (Kesempurnaan).
Adapun Ta’rad itu menyatakan fardhu, dan sebenar-benar fardhu itu tajalli Sifat Allah Ta’ala. Nur Muhammad pun ia, Insan pun ia. Adapun asalnya fardhu itu nyawa kita kerana nyawa itu memerintah ia akan tubuh kerana jika tubuh itu tiada digerakkan oleh nyawa nescaya tiada bergerak tubuh.
Adapun Ta’yin itu menyatakan waktu seperti Dzohor umpamanya, maka maksud dengan nyata itu iaitu nyata Af’al Allah kepada jasad Adam yakni tubuh kita yang kasar itulah yang sebenar-benar nyata.
ALLAHU (Asma’) AKBAR (Sifat) Qasad :
• Berdasarkan kepada tubuh.
• Diqasadkan tubuh yang zahir kepada tubuh yang batin.
• Ibadah yang sembah.
• Tubuh serta nyawa.
Ta’rad :
• Dita’radkan kepada hati.
• Ditentukan kepada tubuh yang batin.
• Ubudah yang disembah.
• Sifat Ketuhanan.
Ta’yin :
• Dita’yinkan kepada nyawa.
• Dinyatakan kepada Zat Allah.
• Ubudiah isi persembahan.
• Iman, Islam, Tauhid, Ma’rifat.
Nafikan rasamu daripada makhdum dan khadim, yakni fana’kan dirimu daripada yang menyembah dan yang disembah. Apabila ada lagi yang menyembah dan yang disembah, maka masih menjadi dua, belum menjadi esa hukumnya.
Fahamilah ianya dengan baik pengertian ini wahai saudara-saudaraku yang dikasihi.
Pengertian esa itu yang aku maksudkan untuk sebenar-benarnya. Semoga kita terselamat daripada kehidupan beranasirkan syirik dan kejahilan diri.
Seperti kata Ahlu’l -Suluk (Hakikat) :
“Man ‘abada’l-isma duna’l-ma’na fa qad kafara…”
Ertinya : “Barangsiapa menyembah nama tiada denganertinya (makna), maka bahawasanya telah kafirlah ia…”
“Wa man ‘abada’l-ma’na duna’l-isma fahuwa mushrik…”
Ertinya : “Barangsiapa menyembah erti tiada dengan nama, maka ia itu menduakan…”
“Wa man ‘abada’-isma wa’l-ma’na fahuwa munafiq…”
Ertinya : “Barangsiapa menyembah nama dan erti (nama), maka ia itu munafiq…”
“Wa man taraka’l-isma wa’l-ma’na fahuwa mu’minu haqqan.”
Ertinya : “Barangsiapa meninggalkan nama dan erti (nama), maka ia mu’min yang sebenarbenarnya.”
Adapun fana’ itu, pada ibarat, ialah melenyapkan segala ghairullah. Jika orang fana’ lagi tahu akan fana’nya, maka adalah belum lagi ia fana’, kerana fana’ itu pada ibarat hapus daripada ghairullah.
Apabila belum hapus daripada ghairullah, belum fana’lah hukumnya. Apabila hapus daripada ghairullah nescaya yang menyembah itu pun lenyap, disembah pun lenyap daripada rasanya, yakni menjadi esa iaitu tiada lenyap sekali-kali. Adapun kepada suatu ibarat, fana’ itu “syirik” kepada Allah Ta’ala, kerana si ‘asyiq tiada berwujud. Apabila tiada berwujud fana’ hukumnya, kerana kepada hakikat Ia Sendiri-Nya, tiada lain.
Seperti sabda Rasulullah SAW :
“‘Araftu rabbi bi rabbi.” Ertinya : “Kukenal Tuhanku dengan Tuhanku.”
“La yara’l-Laha ghayra’llah.” Ertinya : “Tiada melihat Allah melainkan Allah.”
“Ma’arafa’l-laha ghayra’llah.” Ertinya : “Tiada mengenal Allah lain daripada Allah.”
“Ra’aytu rabbi bi’ayni rabbi.” Ertinya : “Kulihat Tuhanku dengan mata Tuhanku.”
Apabila lain daripada Allah tiada dilihatnya, maka fana’ hukumnya pada ibarat ini. Adalah suka aku memberi tahu adalah bahawa perkataan-perkataan ini terlalu mushkil untuk dihuraikan. Maka adalah hendak kita mengetahui dan mempelajarinya daripada Guru Mursyid dan juga kepada kalangan ahli-ahlinya (ma’rifat) yang ariffin lagi bijaksana.
ALLAHU (Nama) –
Lenyapkan diri yang zahir kepada diri yang batin dan hapuskan diri yang zahir kepada wujud Allah.
AKBAR (Sifat) –
Maka ketika itu tiadalah yang maujud hanyalah Zat Allah, Sifat Allah dan Af’al Allah (Inilah yang dikatakan Maqam Mi’raj).
Turun Hapus Sirr nyata Af’al. Hapus Af’al nyata Asma’. Hapus Asma’ nyata Sifat, hapus Sifat nyatalah Zat. (Inilah yang dikatakan Maqam Sirr).
Wallahu ta’ala a’lam…….
Pesanan dariku untuk saudara-saudaraku yang dikasihi, pegangilah ianya akan ilmu hakikat mengenal diri dan Allah ini dengan sebenar-benar genggaman yang erat dan tidak dilepaslepaskan. Jadikanlah ia sebagai bekalan di hari ini dan kemudian. Kalau sudah memandang ke hadapan, tiada lagi istilah menoleh ke belakang di dalam “kamus” hidupku ini. Aku akan terus kehadapan dan kehadapan sampai bila-bila.
Bagiku, sekali bertasauf…sampai bila-bila pun akan aku bertasauf!
Pesanan ku lagi untuk kalaian semua. jadikanlah hujjahku ini sebagai pengi’tibaran di dalam konsep ilmu yang wajib disertakan dengan perbuatan. Aku sering mengingat dan menekankan bahawa adalah ilmu itu adalah untuk diamalkan dan bukan diperagakan. Janganlah sekali- kali jadikan ilmuku ini sebagai hujjah dan perdebatan demi untuk mencari keuntungan yang tidak berfaedah sama-sekali. Jadilah insan yang behemah dan sentiasa merendah diri terhadap segala sesuatu dengan apa yang dilakukan.
Akhir sekali ingin aku bertanya :
Adakah saudara berdua memiliki Kitab Hakikat Insan – Haji Ahmad Laksamana?
Adakah saudara berdua faham dengan apa yang hendak disampaikan oleh beliau?
Apakah komen saudara berdua berkenaan dengan isikandungan kitab tersebut?
Sila maklumkannya kepada saya!
Wassalamu…….
Al-Fakir Ilallah – Abdul Jamil Lam Al-Qadiri

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s